Thursday, August 11, 2011

PPG - 5P

PENGENALAN
  • Konsep 5P merupakan asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam KBSR.
  • Aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana melalui proses ini pelajar dapat menyesuaikan maklumat dalam ransangan serta menghasilkan satu pelajaran yang bersepadu dan menyeluruh
  • Mengelakkan kebosanan dalam kalangan murid
  • Konsep 5P terdiri daripada proses penggabungjalinan kemahiran, penyerapan pengetahuan, penilaian, pemulihan dan juga pengayaan. 

PENGGABUNGJALINAN KEMAHIRAN
  • Menggabungkan pelbagai bidang kemahiran dalam satu pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan satu pelajaran yang intergratif dan menyeluruh. IaPerkara ini merupakan integrasi beberapa kemahiran yang berkaitan secara bersepadu serta menyeluruh dalam suatu proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Tujuan strategi ini dilaksanakan ialah bagi membantu murid dalam penguasaan pelbagai kemahiran dalam sesuatu masa pengajaran dan pembelajaran secara serentak serta meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Penting untuk menarik minat murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran disamping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna.
  • Memberi ruang dan peluang bagi pertumbuhan dan perkembangan murid secara seimbang dan menyeluruh melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di dalam kelas yang melibatkan murid secara aktif serta seluruh kelas.
  • Terdapat tiga jenis bentuk penggabungjalinan kemahiran iaitu penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran, penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain dan penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum. Penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran ialah apabila proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan melibatkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran lisan atau pertuturan, membaca, menulis, mengira, melukis, mewarna dan lain-lain.
  • Beberapa langkah yang boleh diambil dalam pelaksanaan pengajaran yang melibatkan proses penggabungjalinan seperti membuat penelitian terhadap keperluan mata pelajaran untuk mengenal pasti kemahiran yang di fokus dan kemahiran sampingan yang akan terlibat ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
  • Penelitian ini sangat penting dalam menentukan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar agar objektif pengajaran dapat dicapai.
  • Di samping itu guru perlu memastikan keutamaan kemahiran agar kemahiran fokus dapat dikuasai oleh murid berbanding kemahiran sampingan.
  • Selain itu guru juga perlu menetapkan susunan atau tertib kedudukan kemahiran-kemahiran tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai persediaan sebelum bermulanya proses pengajaran guru boleh menyediakan keperluan bahan-bahan yang diperlukan bagi tujuan pelaksanaan kemahiran-kemahiran tersebut selaras dengan objektif mata pelajaran.
  • Bentuk penggabungjalinan yang seterusnya ialah penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain.Proses ini memerlukan penggabungan kemahiran-kemahiran yang terdapat di dalam sesuatu mata pelajaran lain ke dalam mata pelajaran yang diajar.
  • Sebagai contoh yang jelas dapat dilihat penggabungjalinan yang diaplikasikan ialah seperti penggabungan kemahiran dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dengan mata pelajaran Kajian Tempatan iaitu melalui aktiviti seperti melukis Jalur Gemilang atau pelan kedudukan sekolah.
  • Penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum pula melibatkan kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam kurikulum seperti kemahiran belajar untuk proses pembelajaran murid, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.
  • Setiap kemahiran ini mempunyai hubungan dan berkait rapat dengan kehidupan seharian murid. Oleh itu kemahiran-kemahiran ini perlu dititikberatkan oleh setiap guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. 

PENYERAPAN PENGETAHUAN
  • Penyerapan pengetahuan melibatkan proses penyebatian dan penyepaduan pengetahuan atau unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran lain ke dalam isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar. Contohnya isi pengetahuan daripada mata pelajaran Sains dan Matematik diserapkan seiring dengan penguasaan kemahiran-kemahiran dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. 
  • Konsep ini berbeza dengan konsep penggabungjalinan kerana proses penyerapan pengetahuan melibatkan unsur pengetahuan dan bukannya kemahiran. Dalam proses ini murid akan dapat melihat perkaitan antara suatu mata pelajaran dengan mata pelajaran yang lain. 
  • Oleh itu secara tidak langsung aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih produktif serta efektif.
  • Penguasaan ilmu yang lebih luas juga turut berlaku kerana pelbagai maklumat dapat disampaikan di samping murid-murid menjadi lebih faham dengan sesuatu yang telah dipelajarinya melalui penyerapan kerana semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung isi pengajaran telah dihubungkaitkan dengan pengetahuan dari mata pelajaran lain. 
  • Guru haruslah bijak memilih isi pengetahuan yang menarik daripada mata pelajaran lain untuk merangsang minat murid terhadap pengajaran dan menjadi lebih ceria, aktif serta progresif. 

PENYERAPAN NILAI MURNI
  • Penyerapan nilai murni merupakan proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai murni ini melibatkan semangat kewarganegaraan masyarakat Malaysia yang berlandaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran, penyerapan nilai murni ini telah dilakukan secara sedar dan terancang tetapi murid menyerap ilmu dan nilai tersebut secara semula jadi dan sendirinya. 
  • Penyerapan nilai-nilai murni ini telah berlangsung melalui dua pendekatan iaitu pendekatan implisit dan juga pendekatan eksplisit. 
  • Pendekatan implisit digunakan apabila guru-guru secara tidak langsung telah menerapkan sesuatu nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti apabila guru bercakap benar, berpakaian kemas dan adil. Pendekatan ini boleh berlangsung secara merentas kurikulum oleh semua guru kerana nasihat, bimbingan, teguran, contoh dan teladan boleh berlangsung pada bila-bila masa dan di mana-mana yang difikirkan sesuai.
  • Pendekatan eksplisit pula boleh diaplikasikan dengan mengadakan sesuatu peraturan, arahan, pekeliling dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu perkara yang diharapkan seperti arahan untuk tidak membuang sampah di merata-rata serta menjaga kebersihan persekitaran. 
  • Terdapat juga sesetengah pihak sekolah yang mengadakan program atau aktiviti yang khusus untuk menerapkan sesuatu nilai murni dalam kalangan murid seperti program motivasi, khemah ibadat, sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Guru, kempen kebersihan dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian.
  • Penyerapan nilai murni melalui pendekatan eksplisit adalah lebih terancang bersesuaian dengan matlamat dan kaedah pelaksanaan serta penilaian yang jelas. 
  • Terdapat 17 nilai murni yang perlu diserapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran 

PEMULIHAN 
  • Dibentuk dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi membantu murid yang mengalami masalah dalam kemahiran asas 3M.
  • Lebih terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana pemulihan bertujuan membaiki kelemahan pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid yang lambat, iaitu mereka yang lembab mencapai pembelajaran berbanding dengan kanak-kanak yang lain.
  • Rasionalnya pendidikan pemulihan adalah amat penting kerana melalui pendidikan pemulihan murid-murid yang lemah dapat diasuh dan diberikan tumpuan yang lebih berbanding murid lain.
  • Selain itu pendidikan pemulihan ini juga membolehkan murid-murid mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mental mereka
  • Antara faktor yang membawa kepada masalah pembelajaran ialah apabila wujudnya perasaan tidak yakin, rendah diri dan takut dalam kalangan murid tersebut sendiri seperti tidak mahu mengikut kata, tingkah laku yang kurang baik serta disiplin diri yang rendah. Faktor kecacatan sejak lahir dan selepas lahir juga turut menyumbang kepada masalah pembelajaran. Murid yang mengalami kecacatan ini akan ditempatkan di sekolah khas yang bersesuaian dengan keadaan mereka.
  • Aktiviti pemulihan boleh dilakukan melalui lima kaedah iaitu pengajaran individu, pengajaran kumpulan kecil, pengajaran kumpulan besar, pengajran bimbingan rakan sebaya dan juga pengajaran kolaboratif. Bagi pengajaran individu guru akan membimbing murid bagi mengatasi masalah yang dihadapi dengan alat bantuan yang sesuai manakala bagi pengajaran kumpulan kecil pula guru akan membimbing murid yang berada dalam kelompok kumpulan yang sama dan mempunyai masalah yang sama tetapi mendapat perhatian secara individu dari guru.
  • Rasionalnya pendidikan pemulihan adalah amat penting kerana melalui pendidikan pemulihan murid-murid yang lemah dapat diasuh dan diberikan tumpuan yang lebih berbanding murid lain. 
  • Selain itu pendidikan pemulihan ini juga membolehkan murid-murid mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mental mereka.
  • Beberapa langkah khas harus diambil kira ketika menjalankan langkah-langkah pemulihan bagi memastikan objektif aktiviti pemulihan tercapai seperti membuat perancangan dan memilih teknik pengajaran yang sesuai, menentukan masalah yang sama tidak berulang, mengikuti kemajuan murid dengan menggunakan senarai semak dan juga membuat penentuan aktiviti pengukuhan yang sesuai dan secocok bagi menyelesaikan masalah
  • Setelah selesai proses pemulihan sebagaimana yang telah dijadualkan satu penilaian harus dilakukan bagi menguji tahap penguasaan murid. Penilaian ini bertujuan bagi memastikan sama ada objektif pengajaran pemulihan terlah tercapai atau tidak dan tindakan susulan akan diambil ke atas murid.

PENGAYAAN
  • Aktiviti pengayaan melibatkan murid-murid yang berpencapaian melebihi sederhana atau murid-murid pintar cerdas. Konsep ini mengambil kira bahawa murid-murid yang pintar cerdas adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang diberikan kepada mereka. Konsep ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah. 
  • Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari oleh murid. 
  • Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang kepada murid untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan juga masyarakat. 
  • Objektif bagi aktiviti pengayaan adalah untuk membolehkan murid menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereja disamping menambahkan minat dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah perkembangan diri dan bakat mereka. 

No comments:

Post a Comment